Wednesday, February 16, 2011

TAMPARAN HEBAT BUAT KELUARGA TBH

Keluarga Teoh Beng Hock (TBH) menerima tamparan hebat pada hari kedua prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSDR) bilamana usaha peguam yang mewakili mereka untuk sengaja menunda prosiding ini gagal dan tidak diendahkan oleh ahli-ahli panel SSDR yang dipengerusikan oleh Y.A. Tan Sri James Foong Cheng Yuen.

Sejak bermulanya prosiding Suruhanjaya ini pada 14 Februari 2011 yang lalu, pelbagai usaha dibuat oleh peguam-peguam yang mewakili keluarga TBH untuk mengucar-ngacirkan dan melengah-lengahkan perjalanan suruhanjaya ini termasuk perkara-perkara berikut:

·                    Meminta SSDR menetapkan jadual prosiding mengikut tempoh kelapangan mereka. Ini kerana kononnya mereka mempunyai jadual perbicaraan yang padat;

·                    Mempertikaikan pelantikan tiga orang pegawai Timbalan Pendakwa Raya bagi membantu SSDR. Kononnya ketiga-tiga pegawai ini merupakan pegawai daripada Jabatan Peguam Negara dan besar kemungkinan akan berlakunya bias;

·                    Mempertikaikan pelantikan Tan Sri James Foong sebagai Pengerusi SSDR kerana beliau merupakan seorang Hakim yang sedang berkhidmat;

·                    Menangguhkan prosiding kerana keputusan semakan inkues masih belum diketahui.

Kesemua isu-isu yang dibangkitkan oleh peguam-peguam TBH tidak dilayan oleh Pengerusi SSDR. Ini kerana semua permintaan dan pertikaian yang dibangkitkan oleh peguam-peguam tersebut seakan-akan kebudak-budakan dan ketandusan modal.

Bukankah telah dijelaskan di peringkat awal bahawa SSDR ini hanya diberikan tempoh masa selama 90 hari sahaja untuk memperlengkap proses siasatan dan perlu mengemukakan laporan lengkap kepada Yang Dipertuan Agong selewat-lewatnya pada 25 April 2011. Perkara ini jelas dan diterima oleh semua pihak.

Penetapan tempoh masa ini penting dan wajar kerana tanpa tempoh masa yang ditetapkan ia akan berpanjangan tanpa arah tuju yang khusus. Lihat apa yang berlaku pada inkues di mana hampir 18 bulan berjalan namun tiada keputusan. Selama tempoh tersebut, pihak-pihak yang berkepentingan politik telah mengambil kesempatan secukupnya untuk meraih sokongan dan simpati segelintir masyarakat dengan pelbagai polemik politik. Dalam hal ini, langkah Pengerusi SSDR menolak permintaan peguam atas alasan jadual yang ketat amatlah disokong. Sekiranya kes TBH ini dianggap serius dan penting dalam menentukan keadilan, kenapa tidak peguam-peguam terbabit memberikan fokus dan tumpuan khusus tanpa memikirkan soal lain. Pokoknya mereka sengaja melengah-lengahkan prosiding ini untuk tujuan lain.

Peguam bagi pihak keluarga juga mempertikaikan pelantikan tiga orang Timbalan Pendakwa Raya atas alasan mereka ini mungkin bias. Jika dirujuk kepada seksyen 16, Akta 119 (Akta Suruhanjaya Siasatan) 1950, jelas membenarkan Pendakwa Raya dilantik bagi membantu Ahli-ahli Suruhanjaya untuk menjalankan tugas-tugas siasatan dengan dibekalkan kuasa Polis. Kenapa pula tiba-tiba dibangkitkan isu bias berhubung pelantikan ini. Mereka hanya terlibat membantu ahli-ahli suruhanjaya dan bukannya menganggotai suruhanjaya dan terlibat dalam membuat keputusan. Cuba bertanyakan secara rasional, dari mana boleh kita dapatkan Pendakwa raya kalau bukan dari Jabatan Peguam Negara. Isu ini ditolak oleh Pengerusi SSDR. Ini membuatkan peguam keluarga TBH mungkin naik minyak dan terus mencabar pelantikan Pengerusi SSDR sendiri.

Isu yang mengatakan bahawa sebagai seorang Hakim yang sedang berkhidmat, Tan Sri James Foong perlu menarik diri sebagai Pengerusi SSDR. Dikatakan mereka peguam yang handal dan terkenal, tetapi isu-isu yang dipertikaikan jelas memperlihatkan kecetekan dan kedangkalan mereka sendiri. Mujurlah ada wakil dari Persatuan Peguam (Bar Council) bangkit mempertahankan pelantikan Tan Sri James Foong sebagai Pengerusi dengan menjelaskan bahawa tiada mana-mana undang-undang pun yang menghalang pelantikan pegawai yang sedang berkhidmat untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi SSDR.

Salah satu lagi isu yang sengaja dibangkitkan bertujuan untuk melengah-lengahkan prosiding SSDR ialah meminta akan prosiding ditangguhkan sehingga keputusan semakan inkues kematian TBH diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. Usul ini turut ditolak oleh Pengerusi. Keputusan ini harus dipuji dan memperlihatkan ketegasan, pengalaman dan pengetahuan mendalam Tan Sri James terhadap undang-undang. Peguam-peguam keluarga TBH harus faham bahawa terma rujukan (TOR) SSDR adalah dua aspek iaitu pertama mengkaji sama ada pegawai-pegawai SPRM mematuhi sistem dan prosedur yang ditetapkan dalam pengendalian siasatan; kedua menentukan punca kematian TBH. Kenapa pula harus ditunggu keputusan inkues terhadap TOR pertama. Bukankah lebih baik tumpuan diberikan kepada aspek sistem dan prosedur dahulu. Kemudian, setelah keputusan semakan diperoleh maka TOR kedua bolehlah ditentukan, bukan begitu.

Apa pun keputusan peguam dan ahli keluarga TBH untuk memboikot prosiding suruhanjaya ini dilihat lebih kepada sandiwara dan bermotifkan politik. Kenapa perlu menangis teresak-esak di hadapan media. Keluarga TBH harus memberikan sokongan sepenuhnya kepada perjalanan prosiding SSDR dan bukannya bermain politik. Ingat kembali kenyataan Tan Sri James berhubung kes ini iaitu “seluruh masyarakat ingin mengetahui kebenaran, bukan hanya keluarga kamu, semua orang di sini mahu tahu perkara sebenar yang berlaku..” (The whole nation needs to know the truth, not just your family, everyone here wants to get to the bottom of this..”).

Prosiding ini adalah untuk mencari kebenaran. Bagaimana kebenaran dapat dijelmakan sekiranya proses mencari kebenaran disulami dengan taktik-taktik kotor dan dimasukkan elemen politik bagi menagih simpati rakyat. Ini merupakan mainan politik kotor yang amat berbahaya dan rakyat perlu sedar akan perkara ini.


Muhammad Nabil Izzat AK
Seremban

2 comments:

  1. Rakyat nampak dgn jelas bagaimana pihak pembangkang cuba mempolitikkan RCI ini.
    Yg hairannya kenapakah keluarga TBH bertindak sangat bodoh seolah2 mereka tidak mahu tahu kebenaran kematian TBH?

    ReplyDelete
  2. layarilah www.freemalaysiakini.com , sebarkan kepada pembaca blog anda

    ReplyDelete