Sunday, February 13, 2011

SIASATAN SURUHANJAYA DIRAJA TBH : POLITIK vs KEBENARAN

Memang dapat dijangkakan bahawa kes kematian Teoh Beng Hock (TBH) ini merupakan bahan politik yang cukup penting untuk digunakan oleh DAP bagi menyerang kredibiliti Kerajaan. Pelbagai cara dan helah digunakan oleh golongan ini untuk memastikan bahawa kes ini akan sentiasa berterusan dan menjadi bualan masyarakat.

Setelah hampir 18 bulan berlalu, dirasakan momentum sokongan dan simpati rakyat secara keseluruhannya terhadap isu yang dibawa pembangkang ini semakin menurun. Namun dek kebijaksanaan strategi Perhubungan Awam yang digunakan maka isu ini ada turun naiknya. Ada sahaja isu-isu yang tiada berkaitan langsung dengan kes kematian TBH di gembar gemburkan bertujuan untuk menaikkan rasa benci masyarakat terhadap pihak berkuasa dan Kerajaan. Sampai bila agaknya isu ini akan selesai. Memandangkan pilihan raya umum dijangka semakin dekat maka kecenderungan untuk melengah-lengahkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ini sengaja dibuat dengan tujuan meraih simpati politik.

Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSDR) bagi menyiasat kes kematian TBH ini jelas dengan terma rujukan dan tempohnya. Dua terma rujukan yang ditetapkan adalah untuk (1) meneliti aspek pematuhan sistem dan prosedur yang diamalkan oleh SPRM dalam proses penyiasatan dan (2) untuk mengenal pasti punca kematian TBH. SSDR ini diberikan tempoh masa selama 3 bulan dan dijangkakan SSDR akan mengemukakan laporan penuh kepada Yang Dipertuan Agong selewat-lewatnya pada 25 April 2011.

Manipulasi DAP ke atas kes TBH

Di pusingan pertama ini, pihak pembangkang khususnya DAP dengan strategi-strategi politiknya telah berjaya dari segi:

i.              Mendesak kerajaan menubuhkan SSDR. Memang inilah matlamat mereka agar SSDR ini dapat di manipulasi sepenuhnya sebagaimana SSDR berkaitan kes VK Lingam. Percayalah SSDR ini akan dijadikan pentas politik DAP sebagaimana yang berlaku dalam inkues TBH dan SSDR kes VK Lingam. Akibatnya, mereka berjaya melemahkan imej dan kredibiliti Sistem Kehakiman Negara ini baik dalam mahupun luar negara. Isu ini menjadi bahan politik yang dijaja di semua peringkat.

ii.            Memasukkan siasatan ke atas punca kematian TBH sebagai Terma Rujukan (TOR). Bukankah proses inkues ke atas TBH masih belum muktamad? Pihak Peguam Negara telah pun memutuskan untuk mengemukakan semakan ke atas keputusan inkues yang lalu di peringkat yang lebih tinggi. Kenapa tidak ditunggu sahaja keputusan tersebut? Apa akan berlaku sekiranya di mahkamah tinggi nanti, keputusannya ialah membunuh diri? Sudah tentu, pihak DAP akan mengemukakan rayuan semakan, bukan begitu? Terasa janggal bilamana Peguam Negara pula yang telah memfailkan semakan semula keputusan inkues tersebut. Bukankah pihak peguam keluarga dan konco-konconya beria-ia di peringkat awal untuk memfailkan semakan tersebut kerana kononnya tidak berpuas hati, tetapi senyap selepas itu?

iii.           Menggunakan sepenuh keluarga TBH termasuk kakak, ibu dan ayahnya sebagai aktor-aktor dalam drama ini. Terbaru di mana kaum keluarga TBH dikatakan ingin berjumpa dengan Ahli-ahli SSDR. Apakah tujuan pertemuan dan perjumpaan ini? Adakah untuk meraih simpati dan bertujuan mempengaruhi keputusan SSDR? Taktik dan strategi kotor peguam-peguam yang berkenaan wajar diambil perhatian dan dihentikan segera. Dilihat bahawa kes ini semakin dipolitikkan sehingga membelakangkan aspek undang-undang dan keadilan kepada semua pihak termasuk keadilan kepada pegawai-pegawai SPRM.

iv.           Strategi melengah-lengahkan SSDR hingga ke PRU 13. Tindakan peguam-peguam bagi keluarga TBH cuba melengah-lengahkan SSDR ini wajar dihentikan. Pelbagai alasan cuba diberikan termasuk jadual perbicaraan yang ketat dan sebagainya. Sekiranya ahli-ahli SSDR tunduk kepada permintaan peguam-peguam ini maka terbuktilah bahawa SSDR juga tidak melaksanakan tanggungjawabnya secara adil. Tarikh 90 hari atau 3 bulan dirasakan mencukupi dan tidak perlu lagi dipanjangkan. Semakin lama ia berjalan maka semakin besarlah political mileage yang bakal diperoleh golongan peguam politik ini.

Di mana pula keadilan buat SPRM?

Sejak dari awal kewujudan inkues dan SSDR, SPRM dilihat dihentam bertubi-tubi dan dibiarkan bersendirian dalam hal ini. Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang hanya melaksanakan tugas, pegawai-pegawainya juga merupakan manusia yang mempunyai perasaan dan maruah diri.

Siapa pula yang memperjuangkan keadilan bagi pihak SPRM? Dalam hal memerangi rasuah ini, memang benar bahawa tiada istilah kawan buat SPRM. Semua pihak mempunyai kepentingan dan keuntungan politik sendiri. Tiada istilah keadilan buat SPRM.  Tiada siapa yang berjuang mempertahankan institusi ini. Yang diserang dan dipersalahkan adalah agensi yang memerangi rasuah. Perasuah dilindungi dan disanjung. Kesalahan ditutup dan dialihkan pandangan masyarakat apabila isu rasuah dipolitikkan.

Tindakan SPRM digambarkan sebagai konspirasi, berat sebelah dan atas arahan pihak-pihak tertentu. Institusi ini dimalukan, dicemuh dan dipersendakan bertujuan melemahkan semangat warga kerjanya. Kejayaan dan tindakan keras yang dibuat SPRM dianggap sebagai sandiwara dan tidak berkesan. SPRM ditelanjangkan dalam forum-forum perundangan seperti inkues dan SSDR.

Banyak perkara-perkara penting tidak diketengahkan (highlight) dalam proses inkues kerana dihalang oleh peguam-peguam yang berkaitan dan sikap berat sebelah yang ditunjukkan oleh koroner. Tambahan pula peguam yang dilantik mewakili Kerajaan lebih bersikap rasis dan pro kepada keluarga TBH. Proses inkues bukan sahaja gagal memperlihatkan keputusan yang jelas malah gagal serta membuang masa dan wang ringgit rakyat. Semuanya dek desakan pelbagai pihak yang bukan bertujuan mencari kebenaran dan keadilan tetapi mencari sokongan politik murahan dengan membelakangkan proses perundangan.

Bagi mengelakkan senario yang berlaku dalam inkues TBH dan SSDR yang berlaku dalam siasatan kes VK Linggam, maka ahli-ahli SSDR yang dilantik perlu bebas dari segi minda, berani membuat keputusan dan tegas dalam tindakan. Sentimen “kasihan” atau “simpati” kepada keluarga si mati wajar dijauhi demi mencari keadilan dan kebenaran. Jangan terpengaruh dengan dolak-dalik ahli-ahli politik yang bertopengkan peguam kerana yang dicari bukan keadilan atau kebenaran tetapi lebih kepada sokongan ke atas nafsu politik serakah mereka.


Khoo Chai Lee
Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment